Tuesday, April 16, 2024

Kepedulian seorang pemimpin


CATATAN MALAM

Na'im dan isteri ditengah gelandangan.
MENJADI pemimpin bukan mudah seperti mana dibayangkan. Ia mempunyai tanggungjawab yang berat dan memerlukan daya penghayatan (sense) yang tinggi. 

Sebab itu sesetengah orang yang menginsafi dan tahu akan tanggungjawab itu, tidak mudah untuk menerimanya, apa lagi mencari-carinya sehingga sanggup melobi dan sebagainya. Manakala yang kurang sense tidak tahu memanfaatkan amanah yang diserahkan kepadanya.

Seorang pemimpin adalah khalifah Allah di bumi ini, menjadi wali atau wakil Allah untuk menjaga seluruh isi alam semesta ini. Ia suatu amanah yang besar.

Menjadi pemimpin bukan setakat menikmati apa-apa kemudahan dan fasalitis disediakan menerusi jawatan demikian. Jauh sekali untuk dijadikan kebanggaan atau meraih glamour dan menjadi selaku harta pusaka daripadanya. Jawatan bukan untuk dimegahi dan meraih untuk kepentingan peribadi.  

Friday, April 12, 2024

Umno dan PH Selangor perlu utuhkan kerjasama

KHUTBAH AWAL

Para pemimpin Umno dan PH
semasa penamaan calon di Parlimen Gombak
 dan Dun Hulu Kelang.
KEGAGALAN menyelesaikan pembahagian pelbagai jawatan di peringkat bawahan di antara Umno
dengan PH di Selangor nampaknya kian meruncing. Kegagalan menyelesaikan isu itu seperti berpanjangan, dan meletakkan hubungan dan perpaduan di antara dua entiti itu dalam bahaya seperti retak menanti belah. 

Jika ia tidak ditangani dengan cermat dan penuh persefahaman, bukan mustahil hubungan dan kerjasama membentuk kerajaan hari ini, boleh relai begitu sahaja. Hal ini jangan dianggap remeh tetapi perlu melihat potensi ia akan jadi koyak rabak lebih luas. Usaha mententeramkan keadaan perlu dilakukan segera.

Kepada PH (Keadilan, DAP dan Amanah) jangan sesekali mereka merasa gah dan kuat di Selangor tanpa Umno walaupun parti itu menyumbang hanya dua kerusi dalam pilihan raya lalu. Dua kerusi itu penting sebagai benih kepada perpaduan di antara keduanya maka ia perlu dipupuk. Semangat kerjasama atau coopratif sangat perlu.

Sunday, April 7, 2024

Poksu: Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang jua

BELASUNGKAWA

Kenangan bersama Poksu di Pelembang.
KALAU boleh dirakam sebuah kedukacitaan pada Ramadhan 1445 ini, (setakat hari ini 27 Ramadhan),  berita pemergian Prof Che Musa Che Omar,74 malam tadi, adalah kedukaan mendalam buat saya dan mereka yang mengenali dan hormat kepadanya. 

Prof Che Musa atau Poksu, telah dipanggil menghadapi Ilahi kira-kira jam 1.18 pagi tadi.

Khabarnya, saat akhir Poksu di PPUM Allahyarham didampingi isteri, (Rohani Ismail) anaknya (Norsyida) serta menantu dan cucunya. Beberapa orang sahabat baiknya termasuk Prof  Hashim Yaacob juga berada sama saat itu. 

Kemuliaan hidup seseorang insan itu akan terlukis pada zahiriah.

Poksu dimasukan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pada awal Ramadhan lalu, sebelum itu beliau mendapat rawatan di hospital Ampang, Selayang sebelum dikirimkan ke PPUM. Sesuatu yang mengedukan hati saya, apabila seorang akademik bertaraf Profesor dalam bidang Perancangan Bandar dan Alam Sekitar, hanya menerima layanan di hospital biasa-biasa sahaja.

Saturday, April 6, 2024

Mengabadikan kenangan bersama orang politik

PERHATIAN

INSYAALLAH saya akan mula menulis dan mencatat kenangan dan ingatan saya bersama orang-orang politik yang saya kenali, dekati dan kawani sepanjang lebih 55 tahun lampau bagi diterbiutkan sebagai buku baru saya. Kenangan ini ada yang menggembira, membahagia dan ada juga yang memeritkan.

Catatan bermula pada awal tahun 1970an sewaktu saya mula mendekati orang-orang politik di peringkat kampung, daerah, negeri kemudian ke peringkat nasional, sewaktu saya dialam remaja dan mula menceburkan diri dalam dunia kewartawan dan menjadi penulis politik sepenuh masa.

Catatan ini terbatas kepada pengalaman peribadi saya dengan mereka dari awal mereka berkecimpung dalam politik hingga setengahnya menduduki jawatan tertinggi dalam politik / kerajaan; menjadi wakil rakyat, Exco dan Menteri Besar atau Menteri malahan perdana menteri. Ada moment tertentu yang wajar atau penting dicatat sebagai sebuah memori.

Semua itu menjadi kenangan dan nostalgia sangat bernilai dan berharga buat saya, kisah dan peristiwa ini ada yang tidak pernah ditulis, diceritakan menjadi rahsia peribadi, atau didedahkan sepenuhnya selama ini. Kenangan ini adalah “tesis Phd” saya dalam arena penulisan politik.

Catatan itu nanti akan disertakan dengan tarikh, tempat pertemuan, dan lokasi peristiwa. Ada juga akan disertakan gambar-gambar tertentu setakat mana yang masih tersimpan.

Mulanya saya bercadang untuk memulakan penulisan ini 1 Ramadhan lalu tetapi tertangguh, sehinggalah ia bermula setelah memasuki Ramadhan ke 21. InsyaAllah saya akan mula mencatatnya perlahan-lahan untuk menjadi projek mega saya untuk tahun ini setelah tahun lepas (2023) tidak ada buku diterbitkan. Sepanjang memngerjakan projek ini mungkin penglibatan saya dalam medium sosial media lain tidak sekerap dahulu dan sedikit terhalang.

Kepada para penggemar buku-buku tulisan saya, mereka yang ingin mengetahui rahsia orang-orang politik khususnya bersama saya, diharapkan mendoakan semoga usaha “mengabadikan kenangan” ini berjalan seperti dirancangkan. [wm.kl.2:47 pm 06/04/2024]



Saturday, March 23, 2024

Pemuda Umno dari Hidup Melayu ke boikot KK Mart

SESUDAH SUBUH

PERGERAKAN Pemuda Umno yang merupakan sayap kepada Umno melalui sejarah panjang dan menjadi organ penting dalam parti itu. Selama tujuh dekad setengah ia bernafas di bumi ini. Pergerakan itu  ditubuhkan tahun 1949 dengan dipimpinan 15 orang ketua dari pelbagai latar belakang pendidikan dan iktisad. 

Setiap ketua pemuda Umno itu masing-masing membawa gagasan dan wawasan berbeza, tetapi mesejnya tetap sama, untuk menjaga kepentingan bangsa dan agama Islam. Gagasan dan wawasan itu bolehlah dianggap sebagai tagline mereka. Kewujudnnya menjadi penimbal utama kepada induk bernama Umno. 

Hampir setiap era kepimpinan membawa slogan ataupun tema tersendiri. Ada objektif masing-masing yang hendak dicapai. Di zaman ketua pertamanya Hussein Onn dan diikuti Razak Hussein (1949 - 1951) pemuda menjadikan Hidup Melayu dan Merdeka sebagai slogan dan matlamat perjuangan. Ia tepat kerana saat itu orang Melayu sedang bergelombang dengan semangat untuk menghalau kolonial bagi memperolehi kemerdekaan. 

Thursday, March 21, 2024

Usah busukkan nama kerajaan Madani

 SESUDAH SUBUH

Anwar dan Farhah, jangan tunjuk saja..
BEKAS setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim yang kini dilihat menyepikan diri dari politik dan
menumpukan kedunia perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dilaporkan tidak seronok dengan tindakan bekas Ketua Penerangan Umno Isham Jalil yang membuat kesimpulan yang beliau merupakan pemegang saham utama sebuah kontrak kerajaan.

Lantaran itu Farhash memberi tempoh tujuh hari kepada Isham agar menarik balik kenyataannya yang dibuat dalam media sosial. 

Orang kuat Najib Razak itu juga dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka kerana kenyataannya itu dianggap fitnah oleh Farhash? 

Menjelaskan dalam satu kenyataan, Farhash meminta agar Isham menarik balik kenyataan yang dibuat menerusi Tiktok itu. Sehubungan itu surat tuntutan telah dihantar kepada Isham petang semalam, demikian laporan dipetik.

Isham dipercayai membuat andaian itu berdasarkan selepas Farhash memperolehi kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9% (16.1 juta saham) dalam penyediaan khidmat teknologi untuk Jabatan Imigeresen.

Khamis lepas, Bursa Malaysia telah mengumumkan HeiTech Padu Bhd mendapat lanjutan kontrak bernilai RM13.1 juta untuk perkhidmatan menyelenggara sistem imigresen MyIMMS.

Ekoran sudah kecur mengenai hal itu Farhash Wafa telah membuat penjelasan pegangan saham yang dimiliknya dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd yang dimilik besama  Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Bagaimana pun menurut Isham dalam pemfailan di Bursa Malaysia tiada kedapatan nama Sultan Kelantan.

"Untuk rekod Rostta Partners Sdn Bdh adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthses Sdn Bhd yang mana ia dimilik secara bersama oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammads V dan saya, bukannya milik saya sendiri seperti didakwa segelintir ahli-ahli Parlimen pembangkang," demikian jelas Farhash Wafa ketika merespon persoalan pemilikan saham itu olehnya dari kalangan ahli parlimen. 

Apa yang hendak dijelaskan oleh Farhash Wafa disini, bahawa pemilikan saham berkenaan adalah bukan bersendirian melainkan bersama dengan seorang Sultan. Mungkin beliau tidak mampu untuk membelinya secara solo sehingga perlu berpakat dengan sultan. Tetapi apa dipertikaikan di sini termasuk oleh Isham Jalil ialah kenapa ia dianugerahkan kepada Farhash? Farhash dilihat istimewa di sini.

Pembabitan nama Sultan Kelantan itu tidak akan menghentikan tundingan orang terhadap pemilikan saham itu oleh Farhash Wafa ianya tiada kaitan dengan perdana menteri. Selaku bekas setiausaha politik, beliau tidak boleh senang-senang untuk mengatakan beliau sudah "senjang" daripada Anwar.

Sekiranya Isham Jalil dan mana-mana pihak mengaitkan pemilikan saham itu ada kena mengena atau atas restui perdana menteri ia tidak pelik dan aneh. Itu adalah bukan luar biasa apabila kita membuka kitab-kitab pentadbiran negara demokrasi termasuk negara ini. 

Dalam hal ini suka atau tidak, pemilikan saham oleh Farhash itu sama ada ia direstui atau tidak oleh Perdana Menteri, namun ia tetap akan dikaitan dengan perdana menteri kerana beliau pernah menjadi orang penting kepada Anwar sebelum ahli Parlimen Tambun itu menjadi perdana menteri.

Sudah pasti kalau pun Farhash tidak mengetahui jalan untuk ke Puterajaya untuk "merukah" (panjat) pejabat Anwar Ibrahim, tetapi dia pasti masih ingat dengan baik, liku-liku dan jalan untuk ke pejabat Anwar semasa di Bukit Gasing, Petaling Jaya dahulu.

Pemilikan saham oleh Farhash itu walaupun bersama Sultan Kelantan sedikit sebanyak ia tetap memberi bau tidak baik kepada kerajaan Madani pimpinan Anwar hari ini. Anwar sendiri memerlukan penjelasan tuntas untuk menolak tanggapan itu yang tentunya akan dikembangkan oleh pembangkang. Yang sangat-sangat diwaspadai jangan kerajaan Madani ini juga akan disamakan dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini. 

Jika sebelum ini dunia politik memberi persepsi buruk kepada bekas-bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib Razak atau Mahiaddin Yassin masing-masing ada "buah", maka Anwar juga dengan apa diperolehi bekas Setiausaha Politiknya itu juga memiliki "buah" tersendiri. Persepsi bahawa Anwar mewarisi permainan dan amalan bekas-bekas PM sebelum ini tidak boleh dihindari.

Apa cara perlu dihentikan persepsi ini untuk menjaga nama baik dan wangi kerajaan Madani dan mengekalkan tatakelola yang baik. Kalau sebelum ini perlantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kewangan dipertikaikan hangit sehingga lantikan itu dibatalkan, nah, tindakan sama juga perlu diambil terhadap Farhash oleh Anwar.

Mungkin Anwar tidak perlu membuat arahan kerana pemilikan saham itu tidak merupakan dosa atau melanggari peraturan Bursa Malaysia, tetapi jika Farhash ingin melihat kerajaan Madni ini murni beliau perlu melepaskan pemilikan saham yang diragui ada kena mengena dengan kroni itu. [wm.kl.6:48 am 21/03/2024]



Wednesday, March 6, 2024

Parlimen jadi sarkas bila Speaker parang tumpol

ULASAN

Johari Abdul
SEMASA merasmi pembukaan sidang Parlimen penggal ke tiga parlimen ke-15 Yang diPertuan
Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, beriya-iya memberi peringatan agar ahli dewan lebih beradab dan menjaga tartib sepanjang berada dalam parlimen. 

Sidang parlimen memang mendapat perhatian Yang diPertuan Agong. Baginda juga menyebut dengan keadaan yang berlaku dalam dewan sebelum ini, menyebabkan baginda terasa malu untuk hadir atau menontonya. Itu adalah satu pengamatan tulus ikhlas dari baginda. 

Lantaran itu baginda memberi peringatan dan nasihat keras, termasuk supaya mana-mana ahli parlimen yang degil tidak beradab digantung sampai 14 hari. Peringatan itu bukan main-main dan menunjukkan baginda tidak seronok dengan gaya parlimen Malaysia. Yang menerima arahan itu secara langsung tentulah Speaker Johari Abdul. Seharusnya Johari mengambil perhatian berat atas nasihat Yang diPertuan Agong itu.  

Friday, February 23, 2024

Kuala Lumpur cerminan kerajaan Madani: Zaleha harus peka, berani dan tegas

SUSUPAN PAGI 

Dr Zaleha Mustafa
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah ibu kota negara ini. Ia adalah bayangan pelbagai status yang ada di negara ini; sosial, politik, ekonomi, budaya, pendidikan, hubungan kaum, hubungan luar dan sebagainya.

Inspirasi pembentukan dan melestarinya berasaskan dua budaya, tradisional dan barat (moden).

Sebagai ibu negara, ia perlu dijagai sebaik mungkin, diindahkan sebaik mungkin. Dipesatkan sebaik mungkin, dan integritinya juga perlu dijagai seampuhnya demi menyakinkan publik dalam dan luar. 

Hikayat di sebelah sana, Pas - Bersatu retak menanti belah

MENJOLOK MENTARI 

Lain digenggam lain di kepala.
MENARIK juga cerita terbaru di seberang sana, riwayat Pas dengan Bersatu, khasnya riwayat Abdul Hadi Awang dengan Mahiaddin Yassin. 

Khabarnya, dua sahabat setebuk atap ini dalam hubungan dingin sekarang ini, dimana mereka tidak semesra dahulu dan seghairah dahulu lagi untuk membentuk kerajaan. Kedua-duanya hilang keyakinan dengan apa yang diyakini.

Kisah bermula apabila Hadi dikatakan tidak seronok dengan keyakinan "malam" diberikan Mahiaddin yang PN akan membentuk kerajaan selepas beberapa bulan Anwar jadi PM. Kononya jumlah sudah mencukupi untuk PN tubuh kerajaan.

Sebab itulah Abdul Hadi tidak segan silu melaungkan "cukup jemeloh..cukup jemeloh" beberapa kali dari tingkat keretanya. Laungan itu bersumberkan Mahiaddin. Alih-alih laungan itu hanya menyeburkan air liur sahaja, habuk pun tidak ada. Hadi tertipu....dan malu. Biasanya tok lebai susah untuk mengaku kesalahan kerana malu kepada kefakihannya.

Apa lebih menyenakkan lagi Hadi, apabila beberapa usaha selepas itu juga kononnya ada 10 hingga 15 ahli parlimen yang menyokong Anwar termasuk dari Keadilan juga lebung. Pelbagai "langkah" dianjurkan gagal total. Untuk kesekian kalinya Hadi terpedaya dan terkulai di kaki politik Mahiaddin.

Sejak itu Hadi serik dan mulai sangsi dengan Mahiaddin. Mulai meragui kebijaksanaan bekas PM itu. Menjadikan dia sudah kehilangan binatang untuk dianologikan. Mahiaddin dapat menghidu perasaan dukacita Hadi itu dengan membuat sandiwara Cina, mengumumkan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bakal perdana menteri semasa berlangsung pirake Kemaman.  

Pengumuman itu sebagai penawar dukacita Hadi dan untuk memancing hati penyokong Pas dan juga melurut sukma Hadi yang hancur luluh disebabkannya. Bayangkan sekiranya Hadi ikut kata-kata Yang diPertuan Agong dan tidak pedulikan Mahhiddin hari ini Pas sudah jadi sebahagian kerajaan. Martabat dan harakat Pas sebagai parti agama kian memuncak bersama kerajaan Madani. Pas melepaskan peluang yang terbaik.

Ternyata pengumuman itu setakat pengumuman sahaja tanpa tindakan berkesan. Turutan itu Mahiaddin seakan mahu menyakinkan Hadi dengan mengatakan dia akan berundur dari Bersatu dan cara itu harap dimengertikan Hadi dan Pas sebagai memberi laluan kepada Samsuri untuk didendangkan sebagai PM. Hadi menerima pengumuman Mahiaddin itu sebagai pengiktirafan anak didiknya Samsuri sebagai satu-satunya calon PM.

Ramailah "gumbira" dan menarik rodak dengan pengumuman Mahiaddin itu sehingga Hadi dan Pas merasakan bahawa Samsuri satu-satu calon PM. Samsuri sendiri mula berpakaian seperti bakal PM. Namun lagi sekali pengumuman Mahiaddin itu hanya sandiwara dan tektik politik yang langka. Tidak semena-mena beliau menarik balik untuk berundur dari menjadi presiden Bersatu sebaliknya bertekad untuk terus memimpin parti berkenaan. Alasan diberikan Mahiaddin untuk tidak jadi berundur kerana dinasihati isterinya.

Sandiwara dan pewayangan Mahiaddin itulah menjadikan Abdul Hadi tawar hati dengan presiden Bersatu itu dan seakan sudah hilang keyakinan, PN akan dapat melakukan tebuk atap dan mendiami rumah bernama Malaysia.

Kerenggangan hubungan itu sangat nyata dan jelas sekali. Pemerhati dan penyerap politik dapat mengesaninya, cuma ia diselindungi dengan masalah kesihatan Hadi sebagai alasan, untuk mereka tidak kerap berjumpa. Yang sebenarnya ada masalah, bukan kerana kesihatan. Bagi orang politik mereka tetap kuat walaupun keuzuran.

Hadi dikatakan sudah lama tidak berkonsultasi politik dengan Mahiaddin lagi. Tambahnya dalam situasi itu beliau katanya ditekan beberapa oleh pimimpin kanan Pas yang menyarankan agar Pas mengubah haluan politik dari menyokong Mahiaddin kepada menyokong kerajaan Madani pimpinan Anwar. Hadi sedang dipujuk ke arah itu. Sokongan itu perlu untuk menguatkan kedudukan Pas dan juga memberi isyarat kepada Mahiaddin yang dia sudah tidak diyakini Pas lagi. Golongan yang memujuk Hadi berpendapat Pas tidak perlu membuang masa dengan cara Mahiaddin berpolitik.

Nasihat saya Pas boleh terus berkolaborasi dengan Mahiaddin sekurang-kurang untuk melihat prestasinya dalam pilihan raya ke 16 nanti. Pas tidak perlu jadi pandir sangat dengan Mahiaddin sebaliknya perlu bergantung kepada kekuatan sendiri. Pas kena sedar kelebihan yang ada kepadanya ketimbang apa yang ada kepada Bersatu. Dalam pada itu Pas kena kaji dan menilai untung labanya bersama Mahiaddin. Mungkin kalau ia membawa kesan buruk Pas perlu tinggal Bersatu untuk bersendirian.

Jika Pas ingin hidupkan Perikatan Nasional, sejujurnya Pas kena memimpin PN, bukannya Bersatu. Untuk merealisasi ini Pas tidak perlu minta, tetapi terus menguji Bersatu dan Mahiaddin apakah Bersatu tahu hakikat itu dan pandai membaca naluri Pas tersebut. Solusi untuk mengeratkan hubungan Bersatu dengan Pas memulihkan kerenggangan Mahiaddin dan Hadi ialah dengan melantikan Samsuri Mokhtar sebagai ketua pembangkang di Parlimen. Apakah Mahiaddin bersedia dan sudi berbuat demikian?

Itu sahaja ubat untuk menenangkan Hadi dan juga mengurangkan kerisauan Mahiaddin kepada kesetiaan Pas yang bila-bila masa sahaja boleh memutuskan hubungan. Pas tidak perlu gusar kerana ia sebuah parti yang kuat, lengkap dan makin dipercayai orang-orang Melayu. Sudah sampai masanya Pas memimpin bukan dipimpin sesuai dengan kefahaman agama dianutinya Islam memimpin bukan dipimpin dan ditipu hidup-hidup. [wm.kl. 9:36 am 23/02/2024]

Friday, February 16, 2024

Pendakwaan yang menyenakkan jiwa

ULASAN

Abdul Zaik, foto Malaysiakini.
SEMALAM kita disentap dengan laporan yang sungguh menyebak dan menyenakan hati, apabila tiga lelaki didakwa atas tuduhan pecah amanah, menipu dan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM39.5 juta, (bukan RM395). 

Jumlah itu bukan main-main ia seakan-akan cucu cicit kepada skandal 1MDB. 

Apa menyedih dan memilukan kita, wang itu dikaitkan dengan rakyat Palestin. Wang atau dana yang diuar-uarkan kepada masyarakat umum sebagai bantuan untuk rakyat Palestin. Wang diselingkuh itu adalah wang untuk membantu rakyat Palestin. Nasib rakyat Palestin sifatnya seperti anak-anak yatim.